
Pesara rugi RM229,800 terpedaya skim pelaburan tidak wujud
SEBERANG PERAI – Seorang pesara warga emas kerugian sebanyak RM229,800 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan oleh seorang wanita warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, laporan polis telah dibuat oleh mangsa lelaki berusia 62 tahun pada 28 April lalu.
Menurut beliau, kejadian bermula sekitar pukul 2:52 petang apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada wanita berkenaan yang memperkenalkan diri sebagai Zizah.
“Wanita itu mendakwa mangsa adalah tukang paip yang akan membaiki paip rumahnya, namun dinafikan oleh mangsa.
“Sejak itu, mereka sering berhubung melalui telefon sebelum suspek menawarkan mangsa untuk menyertai pelaburan yang kononnya memberi pulangan lumayan dalam tempoh dua hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, suspek kemudiannya menghantar pautan laman web dikenali sebagai timelessworld.vip untuk dimuat turun oleh mangsa.
“Selepas itu, mangsa membuat tujuh transaksi dalam jumlah kecil ke lima akaun bank berbeza. Dalam tempoh tersebut, mangsa menerima pulangan modal berserta keuntungan.
“Namun, selepas melakukan tujuh lagi transaksi ke beberapa akaun berbeza, mangsa tidak lagi menerima sebarang keuntungan. Malah, suspek juga gagal dihubungi,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |