
Kerajaan umum peruntukan RM30 juta untuk transformasi organisasi media
KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM30 juta kepada pengamal media dalam usaha memperkasa transformasi digital industri kewartawanan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan tersebut akan digunakan bagi tujuan latihan dan pendedahan kepada teknologi semasa, termasuk Kecerdasan Buatan (AI), sekali gus memastikan pengamal media menyesuaikan diri dengan arus perubahan global yang semakin pesat.
“Saya setuju apa jua cara, asalkan transformasi itu berlaku. Dunia kewartawanan tidak boleh ketinggalan dalam mengejar kemajuan teknologi seperti AI.
“Kita mesti menjamin keseimbangan antara perubahan digital dan prinsip etika kewartawanan,” katanya sebelum merasmikan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Baca juga : Diskaun 50 peratus tiket penerbangan untuk pengamal media – Fahmi
Majlis penuh berprestij itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr. Zaliha Mustafa, dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan itu adalah yang terbesar dalam sejarah negara yang pernah disalurkan kerajaan kepada golongan wartawan sejak zaman kemerdekaan.
“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih dan tahniah kepada semua pengamal media. Jangan kita simpan PR (perhubungan awam) semata-mata, tetapi laksanakanlah tanggungjawab dengan integriti dan kecekapan,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |