BERITA SEMASADALAM NEGERI

Peruntukan MP berjawatan menteri perlu dikenakan audit forensik- KP PAS

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran melakukan audit forensik terhadap peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen terutama yang berjawatan menteri bagi memastikan ketelusan dalam penggunaan dana awam.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Ahli Parlimen yang berstatus menteri mempunyai beban tugas yang tinggi dan berdepan risiko agihan peruntukan tersasar, ketirisan dan salah guna.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, pada 13 Februari lalu yang memaklumkan bahawa setiap Ahli Parlimen kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM1.7 juta setahun bagi tempoh 2023 hingga 2024.

“Audit forensik ini lebih penting bagi Ahli Parlimen yang juga memegang jawatan sebagai menteri kerana mereka sibuk menguruskan tugasan kementerian, sering ke luar negara mencari pelabur serta menjalankan tugas rasmi kerajaan.

“Dengan beban tugas tinggi, mereka mungkin tidak dapat memberi tumpuan penuh kepada pengurusan peruntukan mereka.

“Justeru, risiko ketirisan dan salah guna dana lebih tinggi dalam kalangan mereka, menjadikan audit ini satu keperluan mendesak bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhli turut mengulas kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua individu, termasuk bekas pegawai khas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang didakwa meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.

Menurut sumber, rasuah itu dipercayai membabitkan permohonan dana bernilai kira-kira RM1.5 juta bagi pembekalan ‘interactive smart board’ kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Kok menafikan pernah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk peralatan elektronik bagi 16 sekolah.

“Jika benar kerajaan mengutamakan ketelusan dan integriti, audit forensik ke atas peruntukan Ahli Parlimen kerajaan harus menjadi keutamaan sekarang,” kata Fadhli.

Sementara itu, bekas pegawai Kok, Edmund Teoh, turut menafikan dakwaan bahawa beliau meminta dan menerima rasuah RM500,000.

Teoh mengesahkan beliau telah dibebaskan oleh SPRM pada Ahad tanpa sebarang pertuduhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button