BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

Pertikaian sukan perlu diselesai secara dalaman sebelum dirujuk ke PJS

PUTRAJAYA – Pengurusan persatuan sukan digesa mematuhi prosedur yang ditetapkan dengan memastikan sebarang pertikaian diselesaikan terlebih dahulu melalui saluran dalaman sebelum dirujuk kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) atau Jawatankuasa Pertikaian Sukan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Sukan, Datuk Low Beng Choo berkata, terdapat pihak yang salah anggap bahawa pertikaian sukan boleh terus dibawa kepada menteri atau pihak berkuasa tertinggi tanpa melalui proses dalaman yang telah digariskan dalam perlembagaan masing-masing.

“Yang paling mustahak, semua pihak perlu faham bahawa pertikaian perlu diselesaikan secara dalaman terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Pesuruhjaya Sukan atau jawatankuasa berkaitan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Menurut Hannah, setiap pertubuhan sukan wajib mengikuti peruntukan dalaman yang ditetapkan sebelum merujuk sebarang isu ke peringkat lebih tinggi.

“Satu kesilapan lazim ialah apabila sesuatu isu terus dibawa kepada kami, sedangkan pihak terbabit belum menelusuri semua ‘avenue’ penyelesaian yang tersedia di dalam persatuan mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan kegagalan mematuhi prosedur dalaman akan menyebabkan sesuatu kes tidak dapat diterima kerana berada di luar bidang kuasa jawatankuasa.

“Kalau tidak, memang jawatankuasa ini tidak ada bidang kuasa untuk mendengarkan perkara itu,” jelasnya.

Tambah beliau, garis panduan itu bukan hanya terpakai kepada persatuan di peringkat kebangsaan, malah melibatkan kesatuan negeri, daerah serta individu yang bernaung di bawah mana-mana badan sukan berdaftar.

“Langkah ini penting untuk memastikan setiap pertikaian ditangani secara berhemah, berstruktur dan mengelakkan beban tidak wajar kepada PJS serta jawatankuasa yang diwujudkan khusus untuk kes-kes yang benar-benar perlu campur tangan,” ujarnya.

Jelasnya, pematuhan kepada proses dalaman sejajar dengan amalan tadbir urus sukan yang berintegriti, telus dan profesional seperti digariskan dalam dasar pembangunan sukan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button