AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASAINISIATIF KERAJAAN

Pertandingan UROCK 2025 serlah inovasi, bakat muda dalam dunia robotik

PUTRAJAYA – Program University Robot Competition Kingdom of Champion (UROCK 2025) yang berlangsung sempena Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini berjaya menarik penyertaan pelajar universiti dan institusi teknikal dari seluruh negara sekali gus menampilkan pelbagai rekaan robotik dan inovasi teknologi terkini hasil kreativiti anak muda tempatan.

Pertandingan itu bukan sahaja menjadi platform memperlihatkan kehebatan bakat muda dalam bidang kejuruteraan dan teknologi malah turut menggalakkan budaya penyelidikan serta inovasi dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi.

FOI Robotik
Sam (duduk, kanan) bersama pasukan robotik USM yang menyertai UROCK 2025.

Bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik Universiti Sains Malaysia (USM), Sam Yu Jie, penyertaan dalam pertandingan robotik seperti UROCK memberi peluang besar untuk pelajar meneroka aplikasi sebenar ilmu yang dipelajari di bilik kuliah.

“Di Malaysia, memang banyak pertandingan robotik seperti ROBOCON, NIARC, UROCK dan lain-lain. UROCK antara yang terbaik untuk pembangunan pelajar terutamanya dalam kategori terbuka,” katanya.

Menurutnya, projek robot yang dibangunkan pasukannya menumpukan kepada aspek mekanisme, kestabilan struktur dan pusat graviti.

Dalam cabaran rope climbing, pelajar perlu menyesuaikan pergerakan, sudut dan keseimbangan agar robot dapat berfungsi secara efisien.

FOI Robotik
Setiap robot yang dihasilkan perlu kepada keseimbangan agar dapat berfungsi secara efisien.

Selain itu, terdapat juga pasukan universiti lain yang terlibat dalam kategori drone delivery system yang berpotensi menjadi kaedah penghantaran makanan masa depan tanpa kebergantungan pada platform sedia ada.

“Pertandingan sebegini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dan berinovasi. Mungkin suatu hari nanti Malaysia boleh bergerak ke arah sistem penghantaran menggunakan dron sepenuhnya,” ujarnya lagi.

Sam turut menjelaskan bahawa pasukan USM sentiasa bersedia lebih awal, bahkan menjalankan penyelidikan dan pembangunan sepanjang cuti semester tiga bulan bagi memastikan persiapan rapi sebelum musim pertandingan bermula.

FOI Robotik
Dua pelajar Politeknik Port Dickson menguji dron yang mereka hasilkan.

“Kami bukan sekadar belajar teori dalam kelas, tetapi mengaplikasikan ilmu itu dalam pertandingan sebenar. Ia bukti kemampuan dan kemahiran pelajar dalam membina masa depan dunia robotik,” katanya yang yakin Malaysia menuju ke arah era Industri 5.0 yang menumpukan integrasi kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Port Dickson, Muhammad Ahmad Kamal berkata, penyertaan pihaknya dalam UROCK 2025 merupakan kali kedua selepas mencatat kejayaan tahun lalu.

“Kali ini kami tampil dengan beberapa penambahbaikan berdasarkan pengalaman lepas, termasuk penukaran sistem kepada quick release yang menjadikan kestabilan robot lebih baik,” katanya.

FOI Robotik
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Port Dickson, Muhammad Ahmad Kamal.

Menariknya, pilot utama pasukan kali ini terdiri daripada pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Automotif iaitu bidang yang tidak berkait langsung dengan robotik.

Namun, atas dasar minat dan kesungguhan, pelajar berkenaan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang sehingga menjadi pilot utama pasukan.

“Pertandingan ini bukan sahaja memberi pengalaman, tetapi juga melatih pelajar menjadi lebih berdisiplin dan berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan bidang TVET,” katanya.

Muhammad turut menekankan bahawa penganjuran FOI memberi peluang luas untuk pelajar TVET menyerlahkan bakat mereka kepada masyarakat dan pihak industri.

“Kini industri tidak hanya melihat pencapaian akademik, tetapi turut menilai kemahiran sebenar pelajar.

“Platform seperti ini membolehkan bakat muda menonjol dan membina keyakinan untuk terlibat secara langsung dalam dunia teknologi sebenar,” katanya.

Penganjuran UROCK 2025 membuktikan bahawa pelajar tempatan berpotensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa melalui penguasaan kemahiran teknikal, inovasi dan kreativiti dalam bidang robotik serta automasi.

FOI Robotik
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melihat robot yang dihasilkan pasukan dari USM.

Program ini turut selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh ekosistem pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), sekali gus melahirkan tenaga mahir yang mampu menerajui kemajuan teknologi negara.

FOI Putrajaya 2025 yang berlangsung sehingga 8 November ini merupakan sebuah acara yang menghimpunkan pelbagai idea rakyat Malaysia termasuk cendekiawan, penyelidik dan masyarakat umum.

Bertemakan MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasikan Idea, festival itu meliputi agenda merakyatkan ilmu dan pendidikan tinggi serta mempromosikan Malaysia sebagai pusat wacana intelektual dan inovasi global.

Terdapat empat kluster utama sebagai pengisian program iaitu Sidang Idea Malaysia (MyIDEAS), MyIDEAS Connect, Global Higher Education Summit & Showcase dan Advanced TVET & Entrepreneurship.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button