BERITA SEMASA

Permulaan baharu pendidikan tinggi negara, blueprint PPTM 2025-2035 siap dirangka

PUTRAJAYA – Selepas sembilan bulan rangka tindakan (blueprint) pendidikan tinggi negara yang baharu telah berjaya disiapkan oleh Kumpulan Pakar Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035).

Dokumen tersebut telah diterima secara rasmi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan akan dibawa serta dibentang ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.

Zambry dalam ucapannya menegaskan bahawa penyediaan blueprint itu yang diketuai oleh Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail adalah hasil usaha anak tempatan tanpa bergantung kepada perunding asing.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan keupayaan pakar Malaysia dalam merangka hala tuju pendidikan tinggi negara.

“Insya-Allah dokumen ini akan diangkat ke peringkat seterusnya sebelum dilancarkan pada tahun ini juga nanti. Saya menghargai segala susah payah pihak sekretariat yang terdiri daripada anak tempatan keseluruhannya. Satu kebanggaan buat negara.

“Semoga tersedianya blueprint ini akan membawa dimensi baharu kepada pendidikan tinggi negara. Apa yang paling penting ialah tindakan susulan kepada setiap perancangan di atas kertas ini ditukar kepada pelaksanaan sebaiknya,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Sementara itu menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), pembangunan rangka tindakan itu melibatkan lebih 8,226 pihak berkepentingan melalui sesi perbincangan, validasi dan tinjauan kebangsaan serta disiapkan dalam sembilan bulan.

Katanya, ia merupakan satu tempoh yang jauh lebih singkat berbanding rangka tindakan sebelumnya yang mengambil masa dua tahun.

“Proses penyelidikan ini turut merangkumi lebih 240 mesyuarat, 100 kajian rujukan dan 181 individu termasuk pakar akademik serta lebih 22 penulis daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).

“PPTM 2025-2035 menekankan akses pendidikan inklusif, transformasi digital dan daya saing global serta mencatat pencapaian asas.

“Pelaksanaan rangka tindakan ini memerlukan komitmen kerajaan, institusi pendidikan tinggi, industri dan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus relevan dalam lanskap pendidikan tinggi global,” katanya.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menerima blueprint Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia 2025-2035 (PPTM 2025-2035) yang diserahkan Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail.

Terdahulu diadakan Majlis Sign Off PPTM 2025-2035 petang semalam yang menandakan KPT sudah bersedia memacu permulaan baharu bagi pendidikan tinggi negara dengan penekanan kepada inovasi, kebolehpasaran graduan serta pemerkasaan akademik dan industri.

Malah pelan ini dijangka akan membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam dekad akan datang serentak merealisasikan visi sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button