
Permintaan darah meningkat: Pusat Darah Negara seru orang ramai menderma
KUALA LUMPUR – Pusat Darah Negara (PDN) memaklumkan bahawa permintaan terhadap bekalan darah meningkat secara mendadak minggu ini berikutan pelbagai kes kecemasan dan keperluan pembedahan yang mendesak.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini, PDN yang bernaung di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan bahawa peningkatan itu didorong oleh kes pembedahan, kecemasan, pendarahan usus, pendarahan akibat kanser organ, anemia teruk, keguguran serta pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berkala seperti pesakit talasemia dan kanser.
Salah satu kes yang menonjol minggu ini melibatkan seorang pesakit wanita berusia 37 tahun yang mengalami Post Partum Haemorrhage (PPH) atau tumpah darah teruk selepas bersalin.

PPH adalah komplikasi serius yang boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.
“Pesakit berkenaan mengalami kehilangan darah dianggarkan sebanyak 12 liter, menyebabkan pembedahan kecemasan dilakukan.
“Bagi menyelamatkan nyawanya, sebanyak 21 unit sel darah merah, 10 unit cryoprecipitate, 12 unit platelet dan 16 unit plasma telah digunakan,” kata kenyataan itu.
Keadaan ini mencerminkan betapa pentingnya stok darah yang mencukupi untuk kegunaan hospital.
Dalam usaha menyelamatkan nyawa pesakit pula, tenaga dan kepakaran pasukan perubatan digerakkan secara menyeluruh.
“Sungguh, apabila pesakit mengalami tumpah darah, maka banyak tenaga staff perubatan akan dikerahkan dalam usaha menyelamatkan nyawa beliau.
“Tenaga paling utama, sudah pastilah doktor dan jururawat perbidanan. Doktor dan jururawat bius. Pembantu Perawatan Kesihatan dan scrub nurse di dewan bedah. Kemungkinan doktor bedah juga dipanggil,” tambah kenyataan itu lagi.
Selain itu, pasukan sokongan seperti unit blood bank turut memainkan peranan penting dalam mengawal pembekalan darah dan menentukan jenis darah yang sesuai.
“Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) yang bertugas secara on-call juga memastikan proses crossmatch dan penghantaran darah berjalan lancar.
“Anggota kesihatan lain seperti Penolong Pegawai Perubatan (PPP), jururawat dan pembantu perawatan turut menyumbang dalam memastikan bekalan darah dihantar ke hospital tepat pada masanya,” tulis kenyataan itu lagi.
Menurut Pakar Perbidanan yang bertanggungjawab terhadap kes tersebut, pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Bayinya juga dalam keadaan sihat. Kejayaan menyelamatkan kedua-dua nyawa ini adalah hasil usaha bersepadu pasukan perubatan yang bekerja tanpa henti.
Meskipun tenaga perubatan memainkan peranan utama dalam menyelamatkan nyawa, PDN menegaskan bahawa hero sebenar adalah penderma darah yang sudi menyumbangkan darah mereka.
Tanpa bekalan darah yang mencukupi, usaha menyelamatkan pesakit seperti ini mungkin akan menjadi lebih sukar.
Sehubungan itu, PDN menyeru orang ramai untuk tampil menderma darah, terutamanya bagi menampung permintaan tinggi di hospital-hospital sekitar Lembah Klang.
Mereka yang ingin mengetahui lokasi pusat derma darah boleh melayari laman web rasmi PDN di www.pdn.gov.my.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |