
Perlis berpotensi jadi hab pelaburan baharu, didorong CVIA dan PIP
KUALA LUMPUR – Perlis berpotensi menjadi hab pelaburan baharu dengan sokongan projek utama seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP), sekali gus merancakkan pertumbuhan industri di negeri itu.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, negeri bersempadan dengan Thailand itu memiliki potensi besar dalam perdagangan rentas sempadan dan sektor perniagaan, seiring dengan hala tuju Malaysia ke arah gelombang pertumbuhan ekonomi kedua.

“Perlis juga berpeluang menerima limpahan ekonomi daripada negeri jiran, Kedah dan Pulau Pinang.
“Saya melihat perkembangan positif dalam pelaksanaan projek ini dan berharap ia akan menjadi pemacu pertumbuhan baharu untuk Perlis selepas siap kelak.
“Sambil kita bergerak ke hadapan dengan berpandukan Rangka Tindakan Perindustrian Baharu 2030, Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Pelaburan Hijau.
“saya percaya adalah penting untuk kita terus memanfaatkan kekuatan Perlis bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan sempena MIDA Invest Series anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menegaskan bahawa pihaknya komited menarik pelaburan ke Perlis bagi memastikan negeri itu terus berkembang sebagai destinasi pelaburan strategik.
“Kita melangkah ke tahun 2025 dengan agenda yang jelas dan bercita-cita tinggi. Perlis bergerak ke hadapan dengan strategi tersendiri – memanfaatkan kedudukan geografi, dasar mesra perniagaan dan pembangunan infrastruktur yang pesat bagi menarik industri yang ingin berkembang dan berinovasi.
“Di MIDA, kami sentiasa berusaha untuk memudahkan pelaburan di seluruh Malaysia, dan Perlis tidak terkecuali. Dedikasi kami diterjemahkan melalui tindakan,” katanya lagi.
Pada sesi MIDA Invest Series yang berlangsung di MIDA Sentral hari ini, Perlis menjadi tumpuan utama sebagai destinasi pelaburan berpotensi, dengan kehadiran 200 peserta terdiri daripada pelabur tempatan dan asing serta pemain industri.
Antara sorotan utama program ialah pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan Bina Darulaman Bhd, serta pertukaran memorandum kerjasama antara Mutiara Perlis Sdn Bhd dan MAERSK Logistics & Services Malaysia Sdn Bhd.
Kerjasama strategik itu bertujuan meningkatkan kecekapan logistik, pembangunan infrastruktur dan keterhubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Perlis sebagai hab logistik serantau.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |