BERITA SEMASAPMX

Perkongsian strategik komprehensif: Landasan baharu kerjasama Malaysia-Vietnam

HANOI – Malaysia dan Vietnam berkongsi jaringan hubungan yang kukuh, malah terus diperkukuh dengan lonjakan baharu melalui Perkongsian strategik komprehensif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, kerjasama antara kedua-dua negara bukan tidak sekadar perjanjian di atas kertas, tetapi satu komitmen untuk menyemarak usaha sama dalam pelbagai sektor utama.

Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja dua hari di Vietnam berkata, kerjasama itu termasuk dalam sektor perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital, dan keselamatan serantau.

“Kita menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang stabil, tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati. Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan ekonomi digital, dan kami bersedia untuk mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

“Pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam, dan kami mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi diterajui bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengadakan perbincangan semasa sesi sarapan pagi bersama sahabat karib beliau, Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, Pham Minh Chinh awal pagi tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam sektor tenaga, Malaysia telah secara serius dalam melabur dalam tenaga hijau, termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-PETROVIETNAM.

Jelas Perdana Menteri, Ia adalah cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari.

“Petronas dan Petrovietnam akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam, merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh diperbaharui.

“Khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga,” katanya.

Menurut Anwar lagi, di peringkat serantau, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan, memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa dan mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC).

Beliau berkata, dalam isu Myanmar, Malaysia mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis ini daripada terus memburuk.

“Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama.

“Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang, tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan yang jelas dan tindakan yang memberi dampak positif yang nyata kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button