AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

Perkhidmatan Kereta Api KL-Bangkok bakal diaktif semula tahun ini

BANGKOK – Perkhidmatan kereta api terus antara Kuala Lumpur dan Bangkok dijangka diaktifkan semula tahun ini selepas mendapat persetujuan kedua-dua negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dapat dilaksanakan segera memandangkan ia hanya memerlukan penggunaan landasan sedia ada yang menghubungkan Bangkok – Padang Besar – Butterworth – Kuala Lumpur tanpa pembinaan trek baharu.

“Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan State Railway of Thailand (SRT) telah diberikan tempoh tiga bulan untuk membuat persiapan awal bagi memulakan operasi perkhidmatan ini.

“Ia memerlukan koordinasi rapi, pelaksanaan pemasaran bersama serta sistem penjualan tiket yang dikendalikan secara kolaboratif,” katanya memetik laporan BH online.

Dalam lawatan itu, Loke turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit, selain melawat Stesen Bang Sue Central Terminal dan mendengar taklimat berkaitan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.

Sementara itu, Thailand turut mencadangkan sambungan perkhidmatan kereta api dari Sungai Golok ke Rantau Panjang dan Pasir Mas, yang disifatkan Loke sebagai satu cadangan positif dan mampu merangsang ekonomi tempatan.

“Kita perlu membuat persiapan rapi kerana landasan ini sudah lama tidak digunakan. Justeru, kerja-kerja pemuliharaan trek perlu dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya lagi.

Cadangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, khususnya dalam bidang pengangkutan darat serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button