
Perkhidmatan e-hailing inDrive berdepan penamatan?
CYBERJAYA – Syarikat e-hailing inDrive, berdepan kemungkinan ditamatkan operasi setelah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan notis penamatan lesen ke atasnya.
Difahamkan, notis berkenaan dikeluarkan setelah syarikat berpangkalan di Rusia itu didapati gagal mematuhi garis panduan perkhidmatan e-hailing, lapor portal Scoop.
Syarikat tersebut diberi tempoh tiga bulan untuk memulangkan Intermediation Business License (IBL), lesen yang wajib dimiliki oleh mana-mana pengendali e-hailing di negara ini.
Dalam tempoh yang sama, inDrive turut diberikan peluang untuk mengemukakan penjelasan terhadap notis tersebut.
Turut difahamkan, sebelum notis penamatan itu dikeluarkan, inDrive telah menerima beberapa surat tunjuk sebab susulan kegagalan mereka untuk memenuhi keperluan operasi yang telah digariskan sejak 2019.
Antara isu utama yang dibangkitkan termasuk kegagalan memastikan pemandu memegang Lesen PSV dan Permit Kenderaan E-Hailing (eVP) yang sah, di samping aduan berkaitan aspek keselamatan pemandu dalam platform berkenaan.
Tindakan terhadap inDrive ini merupakan kes kedua melibatkan pengendali e-hailing dari Rusia.
Pada tahun 2023, syarikat Maxim turut disiasat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) apabila didapati membenarkan kenderaan beroperasi tanpa permit sah di Putrajaya dan Kuantan, Pahang.
Hasil siasatan ketika itu mendapati, daripada 5,000 kenderaan berdaftar di bawah Maxim, hanya 402 memiliki eVP yang sah – satu pelanggaran serius di bawah Seksyen 12A(5), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Untuk rekod, inDrive mula beroperasi di Malaysia pada penghujung 2021 di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Berbeza dengan platform e-hailing lain seperti Grab, inDrive menggunakan sistem rundingan harga secara terus antara pemandu dan penumpang, tanpa melibatkan pengiraan kadar berdasarkan algoritma.
Model ini, walaupun unik, ia dikritik kerana membuka ruang kepada ketidaktentuan harga dan kurangnya pemantauan dari segi pematuhan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |