BERITA SEMASA

Perincian garis panduan SST masih dalam proses penelitian MOF

KUALA LUMPUR – Perincian berkaitan garis panduan bagi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kini masih dalam proses penelitian Kementerian Kewangan (MOF).

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pihaknya kini dalam proses mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas berhubung perkara itu.

“Untuk makluman semua pihak, MOF masih meneliti perincian berkenaan garis panduan dalam skop SST. Kami juga dalam proses mengadakan libat urus bersama pemegang taruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Jelajah Mega E-Invois 2025 Peringkat Nasional di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di ibu negara hari ini.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, sebarang maklumat lanjut mengenai pelaksanaan garis panduan berkenaan akan dimaklumkan oleh MOF dari semasa ke semasa.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SST akan dilaksanakan lebih progresif dan tidak membebankan rakyat awam mulai 1 Mei ini.

Menurut Anwar, cukai jualan tidak akan dikenakan ke atas barangan makanan asas yang digunakan rakyat, sebaliknya dikenakan ke atas barangan bukan keperluan asas seperti barang premium yang diimport.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button