Perhimpunan pembangkang tidak gugat kedudukan PM – Fahmi Fadzil
AYER KEROH – Kehadiran ribuan peserta dalam perhimpunan anjuran pembangkang di ibu negara semalam tidak menjejaskan kestabilan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perhimpunan jalanan bukanlah mekanisme sah untuk menjatuhkan Perdana Menteri di negara ini.
Jelas Fahmi, sebaliknya ia hanya boleh dilakukan melalui saluran yang diperuntukkan dalam sistem demokrasi berparlimen seperti undi tidak percaya di Parlimen.
“Anwar Ibrahim masih lagi Perdana Menteri kerana kalau nak jatuhkan seorang Perdana Menteri, caranya paling mudah ialah bawa usul tidak percaya di Parlimen.
“Perdana Menteri dah sebut dari awal, malah sebelum mula Sidang Parlimen pada 21 Julai lalu, bawalah usul undi tak percaya tu, (tetapi) sampai hari ini, selepas satu minggu, tak ada seorang pun yang berani (bawa usul).
“Mungkin tak cukup jumlah (sebab itu) dia tak nak buat (usul) dan cara kedua (nak turunkan Perdana Menteri) melalui pilihan raya,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata demikian ketika sesi dialog bersama peserta Pemukiman Komuniti MADANI Semenanjung 2025 sempena Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Stadium Mini Bistari, di sini, malam tadi.
Majlis berkenaan turut dihadiri EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan serta Ketua Pengarah Penerangan, Julina Johan.
Perhimpunan di Dataran Merdeka yang diketuai PAS semalam berlangsung dalam keadaan aman dan tertib, dengan pihak polis menganggarkan kehadiran kira-kira 18,000 peserta.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








