
‘Pergilah adik, bermainlah dengan abang di syurga’
GEORGE TOWN – Ibu kepada sepasang adik beradik yang meninggal dunia akibat termakan keropok beracun, Nurain Hasnorizal, 25, meratapi pemergian kedua-dua anaknya, namun tetap reda dengan ketentuan Ilahi.
“Saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas diberitahu oleh doktor sejak semalam.
“Pergilah adik, bermainlah dengan abang (Muhammad Akil Syauqi) di syurga,” ujarnya dengan nada sebak kepada pengamal media.
Kedua-dua anaknya itu meninggal dunia selepas termakan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus.
Muhammad Luth Syauqi, dua tahun, hari ini meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 1.24 tengahari, dua hari selepas kematian abangnya, Muhammad Akil Syauqi, berusia tiga tahun.
Nurain berkata, sejak semalam doktor sudah memaklumkan bahawa harapan untuk Muhammad Luth pulih sangat tipis kerana tiada tindak balas daripada tubuhnya.
“Saya reda dengan ketentuan-Nya dan berharap anak bongsu saya pergi dengan mudah,” katanya.
Menurutnya lagi, ahli keluarga diberi peluang untuk melawat Muhammad Luth sejak semalam bagi melihatnya buat kali terakhir.
“Berulang kali saya menyapu air mata yang mengalir di pipi Luth. Saya membayangkan saat mereka bermain di rumah. Akil pasti sedang menarik tangan Luth ke syurga,” katanya.
Katanya, beliau menerima ujian ini dengan hati terbuka dan berharap kejadian ini menjadi pengajaran kepada orang lain.
Tambahnya, jenazah Muhammad Luth dijangka akan dikebumikan berhampiran pusara abangnya di Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah, sejurus selesai urusan bedah siasat hari ini.
“Mereka adalah harta saya di dunia. Tiada apa yang dapat menggantikan mereka. Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan. Hanya Allah SWT yang dapat membalasnya,” ujarnya lagi.
Turut hadir di perkarangan hospital adalah ahli keluarga termasuk bapa dan ibu bapa mentua Nurain.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi, masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan yang dipercayai dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Kedua-dua kanak-kanak tersebut telah dikejarkan ke HPP selepas menerima rawatan awal di Hospital Kulim.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |