
Perdana Menteri Thailand mohon maaf atas kebocoran panggilan dengan Hun Sen
BANGKOK – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, semalam tampil memohon maaf atas kebocoran rakaman perbualan telefon beliau dengan bekas pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang mencetuskan kemarahan meluas dan mengancam untuk menggugat kestabilan kerajaan campuran pimpinannya.
Ketika tekanan terus memuncak, Paetongtarn memohon maaf dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh ketua-ketua angkatan tentera serta pemimpin kanan parti Pheu Thai.
“Saya ingin memohon maaf atas kebocoran audio perbualan saya dengan seorang pemimpin Kemboja yang telah menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat,” katanya kepada pemberita.
Dalam audio bocor itu, Paetongtarn dilaporkan berbincang mengenai pertikaian sempadan yang masih berlarutan dengan Hun Sen, yang walaupun telah bersara pada 2023, masih memegang pengaruh besar di Kemboja.
Ketika ini, negara itu diterajui oleh anaknya, Hun Manet.
Antara petikan yang mencetuskan kontroversi termasuk apabila Paetongtarn memanggil Hun Sen sebagai “pakcik” dan merujuk kepada panglima tentera Thailand di timur laut sebagai “pihak lawan”.
Kenyataan itu mencetuskan kritikan hebat dalam media sosial serta reaksi keras daripada pihak tentera.
Kementerian Luar Thailand kemudiannya telah memanggil Duta Besar Kemboja untuk menyampaikan nota bantahan rasmi berhubung kebocoran rakaman tersebut.
Susulan insiden itu, parti utama dalam kerajaan campuran, Bhumjaithai, mengumumkan pengunduran mereka, menyebabkan Paetongtarn berdepan desakan supaya meletak jawatan atau mengadakan pilihan raya baharu, sekali gus mendorong Thailand kepada krisis politik terbaharu pada saat negara itu sedang berusaha menggiatkan semula ekonomi.
Bhumjaithai, parti berhaluan konservatif, menyifatkan perbualan dalam audio itu sebagai “mencemar maruah negara dan angkatan tentera”.
Pasaran saham Thailand jatuh sebanyak 2.4 peratus semalam susulan ketegangan politik tersebut.
Bagaimanapun, pada sebelah petangnya, Paetongtarn, anak kepada bekas Perdana Menteri dan hartawan, Thaksin Shinawatra itu kelihatan sedikit lega selepas satu lagi parti gabungan mengesahkan tidak akan menarik diri.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |