BERITA SEMASA

Peranan Rukun Tetangga akan lebih diperkasakan

PUTRAJAYA – Peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan lebih diperkasakan sebagai penggerak utama dan penghubung jalin penting dalam komuniti.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pemerkasaan tersebut yang merupakan salah satu daripada tujuh Agenda Perpaduan yang menjadi fokus kementeriannya bagi tahun 2024, dan akan dilaksanakan menerusi peningkatan keupayaan dan struktur pentadbiran yang kukuh serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

Kata Aaron, peranan KRT sebagai jentera utama perpaduan negara turut melalui transformasi daripada hanya bertumpukan aspek keselamatan neighbourhood watch kepada lapan bidang tumpuan baru iaitu keselamatan dan ketahanan komuniti; pendidikan sepanjang hayat; ekonomi dan sara hidup; daya cipta; alam sekitar; kepimpinan; kesejahteraan komuniti; serta warisan dan budaya.

“Sehubungan itu, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta dalam Bajet 2024, bagi memperkasakan peranan KRT sebagai rujukan sosial yang menyediakan perkhidmatan dan penyebaran maklumat serta memupuk perpaduan dalam komuniti.

“Justeru, saya telah mengarahkan JPNIN (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional) untuk menyediakan Pelan Pemerkasaan Rukun Tetangga Progresif,” kata Aaron, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika Majlis Amanat Menteri Perpaduan, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasamy; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Azman Mohd. Yusof, pengarah jabatan, kakitangan kementerian dan sukarelawan yang terlibat dalam gerak kerja perpaduan.

Beliau menambah, susulan arahan tersebut, JPNIN telah menyediakan satu pelan yang dirangka dengan kerjasama PDRM, Institut Keusahawan Negara, Institusi Pengajian Tinggi dan beberapa lagi institusi, dan akan dilancarkan pada bulan hadapan setelah mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“(Bagi pelan ini), bidang tumpuan Ekonomi dan Sara Hidup akan diberikan fokus lebih dengan matlamat meringankan kos sara hidup, meningkatkan sosioekonomi dan menjamin kualiti hidup yang baik.

“Antara inisiatif yang dirancang di bawah bidang tumpuan ini adalah 500 Projek Ekonomi Komuniti RT (Kebuniti Madani, Community Based Tourism, Kraftangan dan penghasilan makanan), Karnival Ekonomi RT; Kiosk@RT; Koperasi KRT; dan Jualan RT Mart,” kata Aaron lagi.

Enam lagi Agenda Perpaduan yang digariskan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) adalah Penghayatan terhadap Rukun Negara, Penyuburan Minat terhadap Warisan dan Budaya Negara, Memacu Agenda Digital Negara, dan Pemerkasaan Sosioekonomi Masyarakat India, Membangunkan Malaysia sebagai Hab Kesukarelawanan, dan Meningkatkan Keharmonian antara Penganut Agama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button