Berita Semasa

Perak pengeluar jagung manis terbesar di Malaysia

PARIT – Negeri Perak sekali lagi mencatat kejayaan sebagai pengeluar jagung manis terbanyak negara buat dua tahun berturut-turut.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, pengeluaran jagung manis pada tahun 2023 mencatatkan jumlah sebanyak 17,716 metrik tan.

“Data menunjukkan, Daerah Kinta menyumbang pengeluaran tertinggi dengan 7,056.87 metrik tan dari seluas 700.18 hektar.

“Daerah Kampar pula mencatatkan 7,535.84 metrik tan dari 584.17 hektar manakala Kuala Kangsar menghasilkan 1,416.61 metrik tan dari 153.96 hektar.

“Hasil pengeluaran utama Perak dihantar ke beberapa destinasi strategik termasuk Cameron Highlands, Terengganu, Kelantan serta Lembah Klang.

“Sejak 2012, Perak telah dikenali sebagai pengeluar utama jagung manis. Pada tahun 2023 dan 2024, kami terus menduduki tempat teratas, diikuti oleh Johor dan Sarawak,” katanya memetik laporan Bernama.

Program Titi Gantong Food Production Permanent Park yang beroperasi sejak 2004 seluas 111.6 hektar turut menyumbang secara signifikan dengan menghasilkan 1,001.63 metrik tan jagung manis bernilai RM1.8 juta.

Program itu melibatkan 13 peserta yang bukan sahaja menanam jagung manis malah turut menghasilkan sayuran dan melon madu, memberikan pendapatan purata sebanyak RM5,132 sebulan kepada setiap peserta.

Dalam usaha meningkatkan hasil dan nilai produk, pihak pertanian menggesa supaya industri jagung manis bukan sahaja tertumpu kepada pengeluaran komoditi sahaja.

Melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D), pihak berwajib sedang meneroka penghasilan produk turunannya seperti kerepek, flakes, minuman cordial, kek dan kuih tradisional. “Inisiatif itu dijangka dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan dan meningkatkan pendapatan komuniti setempat,” tambahnya lagi.

Pengurus TKPM Titi Gantong, Muhammad Hazim Zainal berkata, 80 hektar tanah disediakan khusus bagi penanaman jagung manis selain tanaman lain seperti serai, melon madu dan sayuran.

“Peserta program perlu memohon kepada Jabatan Pertanian Perak dan dikenakan sewa RM150 per hektar setiap bulan.

“Proses penanaman dijalankan secara berkala mengikut jadual bagi memenuhi permintaan pasaran, dengan panen dijadualkan mencapai 2 hingga 3 hektar setiap minggu,” katanya lagi.

Peserta program, Mohd Naufall Mustafa, 44, yang telah menanam jagung manis sejak tahun 2007 di atas lahan seluas 6 hektar, mendakwa penggunaan bibit berkualiti seperti GWG G907, GE 1603 dan GE 1606 adalah kunci utama untuk mengelakkan penyakit dan mendapatkan hasil yang optimum.

Menurut beliau, setiap musim panen—yang berlangsung selama 70 hingga 75 hari—boleh menghasilkan sehingga 21,000 batang jagung manis.

“Hasil itu dijual secara borong pada harga RM75 per sak yang mengandungi 140 batang, dibahagikan kepada tiga kategori mengikut berat,” katanya lagi.

Dengan sokongan teknikal dan kepakaran dalam bidang tanaman, biosekuriti serta kawalan perosak, Jabatan Pertanian Perak optimis akan terus mengekalkan kualiti dan meningkatkan pengeluaran jagung manis bagi memenuhi keperluan pasaran dalam dan luar negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button