BERITA SEMASA

Perak miliki helipad pertama dalam hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia

GERIK – Perak menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia memiliki tapak pendaratan helikopter (helipad) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi mempercepatkan operasi pemadaman kebakaran hutan.

Helipad yang dibina berhampiran sebuah telaga tiub itu direalisasikan melalui kerjasama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak serta Jabatan Perhutanan Perak.

Penolong Pengarah (Seksyen Ladang Hutan dan Inovasi) Jabatan Perhutanan Perak, Farhan Sukiman berkata, pembinaan kedua-dua kemudahan tersebut menandakan pencapaian penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan pengurusan kebakaran hutan di negeri itu.

“Inisiatif ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara agensi Persekutuan, negeri dan teknikal mampu memberikan impak besar kepada usaha perlindungan sumber asli negara.

“Kedua-dua infrastruktur ini dibangunkan di bawah Projek Pembinaan Infrastruktur dan Perolehan Kelengkapan Kebakaran Hutan di Negeri Perak (2023–2025).

“Telaga tiub ini dibina dengan ketetapan teknikal tinggi serta dilengkapi pam, struktur perlindungan dan sistem keselamatan untuk memastikan ia sedia digunakan pada bila-bila masa,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ujikaji Tapak Helipad dan Telaga Tiub Bagi Menentang Kebakaran Hutan di HSK Kenderong, di sini semalam.

Menurut Farhan, pembinaan helipad di lokasi strategik itu dijangka dapat memendekkan masa operasi udara bagi memadam kebakaran hutan di sekitar Gunung Kenderong dan sepanjang jajaran Gerik-Kupang.

Selain itu, sumber air daripada telaga tiub tersebut akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terbuka di Sungai Perak dan Tasik Banding.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button