BERITA SEMASA

Peperiksaan STAM pada 3 hingga 13 Februari

PUTRAJAYA – Seramai 4,507 orang calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2024 akan menduduki peperiksaan pada 3, 6, 10, 12 dan 13 Februari depan.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua calon berdaftar akan menduduki peperiksaan itu yang dijadual diadakan di 132 pusat peperiksaan seluruh negara.

“Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan, seramai 926 orang petugas peperiksaan telah dilantik.

“KPM ingin mengingatkan semua calon peperiksaan STAM Tahun 2024 supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan perlu dipatuhi sepanjang peperiksaan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.

Jadual waktu peperiksaan berkenaan boleh dimuat turun dari laman sesawang Lembaga Peperiksaan (LP) melalui pautan lp.moe.gov.my.

Pada masa yang sama, KPM mengingatkan semua calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan STAM Tahun 2024,” katanya lagi.

Berkenaan kemungkinan berlakunya banjir, KPM menjelaskan, pihaknya juga cakna dengan keselamatan dan kebajikan calon serta petugas peperiksaan

“Jadi, KPM sentiasa siap siaga dengan mekanisme dan langkah persediaan sewajarnya termasuk bekerjasama dengan agensi kerajaan lain yang berkaitan.

“Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau jabatan pendidikan negeri (JPN) dengan segera sekiranya tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan oleh bencana,” katanya.

Pada masa sama, calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan yang disediakan di ibu pejabat Lembaga Peperiksaan dan JPN di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button