
Penunggang, pembonceng maut dalam nahas di Lebuh Raya Utara-Selatan
MUAR – Seorang lelaki dan wanita yang dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur maut apabila motosikal ditunggang mereka terbabas di Kilometer (KM) 130.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini, semalam.
Kejadian itu menyebabkan salah seorang mangsa putus kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada pukul 5.24 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika penunggang motosikal, seorang lelaki warga tempatan berusia 28 tahun, bersama pembonceng, seorang wanita warga Singapura berusia 29 tahun, dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas sehingga melanggar besi pembahagi jalan di bahagian tengah lebuh raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal tercampak ke lorong kanan lebuh raya arah utara, manakala pembonceng tercampak ke laluan bertentangan.
“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan kanan dan badan, manakala pembonceng cedera parah di bahagian kepala, badan, serta putus kaki kanan. Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” tambahnya.
Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |