
Penugasan AKPS akan diperluas ke pintu sempadan utama lain
SEPANG – Penugasan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan diperluas di beberapa pintu sempadan utama negara termasuk Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sehingga kini agensi itu beroperasi di 19 pintu masuk sempadan negara.
“Jadi kita akan atur keutamaan. Begitulah formula yang akan kita buat dalam menentukan keutamaan AKPS berat beroperasi di pintu masuk mana, termasuk Sabah, dan Sarawak mengikut urutan keutamaan.
“Mengikut perancangan awal Yang berhormat Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) kecenderungan kami adalah kalau pintu masuk udara ini adalah Lapangan Terbang Antarabangsa dulu.
“Yang paling sibuk selain di sini (KLIA) adalah Pulau Pinang diikuti Kota Kinabalu walaupun TPM orang Sarawak, tetapi beliau minta saya utamakan Kota Kinabalu… kemudian datanglah Kuching dan yang lain-lain,” kata Saifuddin Nasution seperti dilaporkan dalam portal Buletin TV3, hari ini.
Tambahnya, KDN telah mengenal pasti 141 pintu masuk utama bagi pelaksanaan AKPS yang merangkumi sempadan darat, lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan di seluruh negara.
Saifuddin Nasution berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
AKPS terdiri daripada anggota yang diserap daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Penubuhannya dimuktamadkan selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Oktober 2024.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |