
Penubuhan KL Youth Force, elaun minimum pelatih akan dibawa kepada JWP
PUTRAJAYA – Penubuhan pasukan khas belia dikenali sebagai KL Youth Force dicadangkan sebagai inisiatif terkini bagi memperkukuh gerak kerja bantuan bencana di Wilayah Persekutuan, khususnya dalam aspek kebajikan mangsa terlibat seperti banjir dan kebakaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, cadangan tersebut antara usul utama yang dibentangkan sempena Mesyuarat Pertama Sidang Belia Wilayah Persekutuan yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 Jun lalu.
“Walaupun kita sudah mempunyai struktur seperti Rakan NADMA, KL Youth Force ini boleh menjadi barisan hadapan sukarelawan belia yang digerakkan secara lebih teratur ketika bencana.
“Bagaimanapun, cadangan ini memerlukan penelitian terperinci, terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) agar pelaksanaannya dapat diselaraskan dengan agensi sedia ada,” katanya ketika sesi penggulungan mesyuarat sidang tersebut di sini hari ini.
Dalam pada itu, cadangan memperluas pemberian elaun minimum kepada pelatih industri sektor swasta turut mendapat perhatian, dengan Dr. Zaliha menyatakan hasrat untuk membawa isu itu ke peringkat Jemaah Menteri.
“Ketika ini, inisiatif elaun minimum sudah dilaksanakan di peringkat kerajaan. Namun, masih belum ada dasar khusus yang mewajibkan perkara ini di sektor swasta.
“Saya akan bincangkan perkara ini bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, agar satu pendekatan lebih inklusif dapat diwujudkan demi menjaga kebajikan pelatih industri,” ujarnya.
Sidang Belia Wilayah Persekutuan yang julung kali diadakan itu menyaksikan pembentangan sebanyak 15 usul merangkumi aspek ekonomi, sosial, teknologi dan perundangan dengan penyertaan aktif wakil-wakil belia dari seluruh Wilayah Persekutuan.
Menurut Dr. Zaliha, semua cadangan dan usul yang dibentangkan akan diserahkan kepada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) untuk tindakan susulan.
“Usul-usul yang melangkaui bidang kuasa saya akan dibawa ke perhatian Jemaah Menteri mengikut Akta Fungsi-Fungsi Menteri (Pindaan 2023). JWP pula akan menyelaras dan memantau status pelaksanaan bersama kementerian terlibat.
“Kita mahu pastikan segala idea dan buah fikiran yang dikemukakan oleh golongan belia ini tidak disia-siakan malah diberi pertimbangan sewajarnya demi masa depan negara,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |