BERITA SEMASA

Pensyarah rugi RM294,000 diperdaya sindiket menyamar pegawai e-dagang

KUANTAN – Seorang pensyarah wanita berusia 44 tahun kerugian RM294,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai syarikat platform e-dagang dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 30 April lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya sebagai wakil syarikat e-dagang, memaklumkan nombor telefon milik mangsa telah digunakan dalam kegiatan penipuan.

“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa mangsa terlibat dalam pemalsuan dokumen serta pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek memperdaya mangsa dengan menakut-nakutkan mengenai hukuman penjara dan sebatan, menyebabkan mangsa panik serta membuat 17 transaksi kewangan kepada 11 akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM294,000.

“Transaksi dilakukan menerusi perbankan dalam talian dan mesin deposit tunai (CDM), selain suspek turut mengarahkan mangsa melapor diri lima kali sehari melalui telefon, aplikasi WhatsApp dan panggilan video,” katanya.

Yahaya menjelaskan, wang berkenaan merupakan hasil simpanan dan pinjaman bank.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang panggilan mencurigakan dan segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi berkaitan sebelum mengambil sebarang tindakan.

“Orang ramai digalakkan menyemak nombor akaun atau nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button