Berita Semasa

Pensyarah, pelajar Politeknik Ungku Omar jadi tebusan hanya simulasi latihan VAT 69 komando

IPOH – Suasana panik yang tercetus di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, pagi tadi rupanya merupakan latihan simulasi yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pengurusan politeknik tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, simulasi itu dikendalikan Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerakan Khas PDRM yang dijalankan bertujuan mengurus dan mengendalikan krisis keganasan seperti digariskan dalam arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelas beliau, situasi itu adalah senario latihan skala kecil ‘Ops Kurung’ bagi menguji kesiapsiagaan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), PUO dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Latihan seumpama ini dilaksanakan dari masa ke semasa untuk menguji keberkesanan pelan tindakan pengurusan krisis keganasan bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

“Justeru orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dan menyebarkan spekulasi tidak tepat berkaitan kejadian dan latihan ini,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abang Zainal Abidin lagi, latihan bermula jam 9 pagi tadi dimulakan dengan laporan dibuat pengawal keselamatan PUO kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkaitan serangan kumpulan bersenjata yang tidak dikenal pasti dengan menjadikan seorang pensyarah dan beberapa pelajar sebagai tebusan.

Katanya, ketegangan lebih memuncak dengan kehadiran jumlah petugas PDRM yang ramai, kenderaan pasukan keselamatan serta kesihatan termasuk pesawat helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM di kawasan PUO dan sekitarnya.

“Ia adalah latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan Pasukan 69 Komando, Pasukan Gerak Khas PDRM di politeknik terbabit,” jelasnya.

Terdahulu, tular sebuah video yang dirakam oleh pelajar PUO di media sosial, memaparkan situasi tegang di mana beberapa individu yang memakai topeng muka dan membawa senjata api kelihatan seolah-olah sedang menduduki bangunan PUO, sementara para pelajar bergegas mengosongkan premis tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button