BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penjualan rokok elektronik diharamkan di Terengganu bermula 1 Ogos

KUALA TERENGGANU — Kerajaan Negeri Terengganu akan melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penjualan produk rokok elektronik di semua premis perniagaan di seluruh negeri bermula 1 Ogos 2025.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan tersebut dimuktamadkan dalam Mesyuarat Exco Negeri.

“Langkah penguatkuasaan ini merupakan pendekatan proaktif kerajaan negeri dalam menangani penyalahgunaan produk rokok elektronik yang terbukti memberi kesan negatif terhadap kesihatan masyarakat, terutamanya golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, dasar sedia ada akan dikekalkan, di mana lesen perniagaan tidak akan diluluskan kepada mana-mana premis yang terlibat dalam penjualan produk rokok elektronik.

Ketetapan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkuat kuasa di seluruh Terengganu.

Syarat dan garis panduan permohonan lesen perniagaan juga akan diperketat bagi memastikan larangan berkenaan dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Mana-mana pengusaha yang didapati masih menjalankan aktiviti penjualan vape selepas tarikh kuat kuasa akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), termasuk kompaun, penyitaan barangan serta tindakan pendakwaan di mahkamah,” lapor Harian Metro.

Dalam menunjukkan komitmen dan pendirian jelas terhadap isu itu, kerajaan negeri turut memutuskan untuk tidak menerima sebarang bentuk tajaan daripada syarikat pengeluar atau pengedar vape dalam mana-mana program atau acara rasmi yang melibatkan penglibatan kerajaan negeri.

Sebagai langkah peralihan, tempoh lanjutan selama tiga bulan, bermula 1 Mei hingga 31 Julai 2025, akan diberikan sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan.

Tempoh tersebut juga merangkumi tindakan terhadap paparan iklan berkaitan perniagaan rokok elektronik.

Bagi memastikan kebajikan pengusaha yang terjejas terus terpelihara, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menawarkan penyertaan dalam kursus keusahawanan serta menyediakan akses kepada peluang perniagaan dalam sektor yang lebih mampan dan selamat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button