
Arak: Yang diharamkan minum, jangan minum – Nga Kor Ming
IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mahu hak individu bukan Islam dihormati dan menggesa supaya isu penjualan arak tidak dipolemikkan terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata, perniagaan syarikat arak yang beroperasi secara sah di negara ini mempunyai lesen beroperasi dan tidak melanggar undang-undang.
“Apabila ada premis jual arak, yang haram (minum), jangan belilah. Tetapi kita juga tidak boleh menghalang orang yang boleh minum, itu hak mereka.
“Kita perlu amalkan sikap saling hormat-menghormati,” katanya selepas Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan ke Pasar Taman Canning, di sini, hari ini.
Kor Ming turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada berhubung penjualan minuman keras di kawasan seliaan masing-masing.
“Syarikat arak adalah syarikat tersenarai awam dan mereka turut membayar cukai yang membantu pembangunan negara. Kita perlu bersikap adil kepada semua,” katanya lagi.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sekiranya terdapat permintaan daripada komuniti setempat untuk menyekat penjualan arak di kawasan tertentu, PBT akan menilai dan meneliti permohonan tersebut.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, Malaysia berada di landasan yang betul untuk membina keharmonian dan semua pihak perlu fokus kepada perkara yang memanfaatkan rakyat.
“Jangan jadikan isu itu sebagai polemik. Saya sentiasa menasihati supaya kita tidak hilang fokus dengan perkara remeh yang tidak membina.
“Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak menguntungkan sesiapa dan hanya merugikan semua pihak,” katanya lagi.
Terdahulu, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilaporkan sedang mengkaji pelaksanaan dasar larangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti yang telah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |