BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penjawat awam terlibat penipuan dana awam RM10.4 juta di London

KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengesan satu kes penipuan kewangan membabitkan penjawat awam di sebuah jabatan kerajaan di London dengan jumlah kerugian sebanyak RM10.4 juta.

Akauntan Negara, Nor Yati Ahmad berkata, kes itu adalah antara beberapa insiden penipuan transaksi dana awam yang dikenal pasti berlaku antara tahun 2019 hingga 2024, dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM18 juta.

“Ini termasuk satu kes melibatkan penjawat awam, dengan jumlah RM10.4 juta yang berlaku di sebuah jabatan di London. Tindakan susulan sudah diambil oleh pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP), hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, serta Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Modus Operandi dan Tindakan Proaktif

Nor Yati menjelaskan, penipuan yang dikesan melibatkan manipulasi sistem kewangan dan perubahan terhadap proses serta prosedur perakaunan sedia ada.

Ujarnya, sebagai langkah pencegahan, JANM kini menggunakan teknologi digital untuk menganalisis data kewangan dan mengesan sebarang transaksi mencurigakan atau petunjuk awal (red flags) berlakunya penipuan.

“Jabatan ini tidak hanya bergantung kepada laporan pihak ketiga, sebaliknya mengambil langkah proaktif menggunakan teknologi untuk mengesan penipuan. Pendekatan ini kini menjadi sebahagian daripada proses kerja standard di JANM dan akan diteruskan secara berterusan,” ujarnya.

Cabaran dan Pendekatan Kolaboratif

Tambah beliau, landskap perakaunan sektor awam semakin kompleks berikutan perkembangan teknologi dan perubahan sosioekonomi, justeru memerlukan kerjasama rentas agensi.

Pelaksanaan KKFP dilihat sejajar dengan prinsip tadbir urus dan integriti yang ditekankan di bawah agenda Kerajaan Madani, serta dijangka dapat memperkukuh dasar dan kaedah pencegahan penipuan dalam sektor awam.

“JANM akan terus memberi sokongan penuh dalam menjayakan objektif KKFP menerusi sinergi strategik bersama agensi berkaitan.

Kami percaya, melalui usaha bersepadu dan perkongsian amalan terbaik, pencegahan dan pengesanan penipuan kewangan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh,” katanya mengakhiri sidang media.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button