BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penjawat awam perlu setia berkhidmat demi negara – Agong

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong hari ini, Sultan Ibrahim bertitah agar semua penjawat awam menjadikan perkhidmatan cemerlang sebagai hadiah kepada raja dan negara tercinta.

Dalam titah berkenaan, Baginda menegaskan bahawa prinsip kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara bukan bermaksud menyembah, tetapi melambangkan kejujuran dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kesetiaan bukan maksud menyembah, tetapi jujur dan amanah dalam memikul tugas dan tanggungjawab yang diberikan, serta tidak mengkhianati negara dan amanah rakyat,” titah Baginda dalam satu kenyataan.

Baginda turut mengingatkan bahawa penjawat awam perlu bebas daripada pengaruh parti politik, bersikap berkecuali serta meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

Titah Baginda, setiap keputusan yang dibuat dalam pentadbiran haruslah mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan dan bukannya dipengaruhi oleh kehendak mana-mana pihak berkepentingan termasuk orang politik.

“Pegawai kerajaan harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut peraturan, bukan ikut telunjuk ahli politik,” titah Baginda lagi.

Dalam nada yang tegas, Baginda juga menggesa agar setiap sen perbelanjaan kerajaan dikawal rapi.

Peruntukan rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya digunakan oleh menteri atau ahli Parlimen untuk tujuan politik, sehingga menjejaskan kedudukan fiskal negara.

“Setiap perbelanjaan mestilah dikawal dengan rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati untuk memancing undi,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda juga menyeru semua agensi penguatkuasaan supaya berani menjalankan tugas dengan penuh integriti agar keyakinan dan penghormatan rakyat terhadap institusi dan seragam yang dipakai sentiasa terpelihara.

“Jangan sampai rakyat hilang kepercayaan dan tidak hormat kepada uniform yang dipakai,” titah Baginda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button