Penjawat awam diminta kekal fokus berkhidmat kepada rakyat – CUEPACS
KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menegaskan penjawat awam perlu terus memberi tumpuan kepada penyampaian khidmat terbaik kepada rakyat.
Tugas itu perlu dilakukan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana agenda yang boleh mencalar integriti dan profesionalisme perkhidmatan awam.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, semua penjawat awam perlu mengekalkan prinsip berkecuali dan tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan atau tindakan yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi perkhidmatan awam.
“Penjawat awam adalah tunjang kepada kestabilan pentadbiran negara.
“Mereka perlu sentiasa menunjukkan sikap profesional, berintegriti serta memelihara tatasusila dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa sebagai pelaksana dasar kerajaan, penjawat awam harus mendukung sepenuhnya prinsip-prinsip Rukun Negara.
Ia termasuklah Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan nasional.
Menurutnya, sebarang tindakan yang menyimpang daripada prinsip itu bukan sahaja mencemarkan nama baik perkhidmatan awam, malah boleh menggugat kelangsungan sistem pentadbiran negara.
“CUEPACS menggesa semua penjawat awam untuk kekal fokus kepada amanah yang telah diberikan dan tidak terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau aktiviti yang boleh menjejaskan imej perkhidmatan awam di mata rakyat,” tegasnya.
CUEPACS sebelum ini kerap menekankan peri pentingnya menjaga profesionalisme dan integriti perkhidmatan awam agar keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan kekal utuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








