
Peniaga kecil masih layak guna gas bersubsidi – Fuziah Salleh
KUALA LUMPUR – Peniaga kecil seperti penjaja makanan masih layak menggunakan tong gas memasak bersubsidi berwarna hijau selagi pemilikan tidak melebihi tiga tong 14 kilogram (kg) pada satu-satu masa.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh menjelaskan, pelaksanaan tong gas ungu yang diumumkan baru-baru ini hanya melibatkan pengguna industri dan komersial berskala besar bukannya peniaga kecil.
“Sebagai contoh, kalau ‘Makcik Kiah’ guna satu tong untuk goreng pisang, satu untuk mee, satu untuk air masih layak guna tong hijau bersubsidi. Tak perlu tukar ke tong ungu.
“Tong gas ungu (tanpa subsidi) hanya diwajibkan kepada restoran besar, kilang, hotel dan seumpamanya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Menurut Fuziah, penjelasan mudah perlu diberikan memandangkan masih ramai yang keliru berhubung pelaksanaan dasar LPG komersial berwarna ungu.
“Jangan takutkan rakyat dengan maklumat yang tidak tepat. Yang penting, subsidi disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak,” ujarnya.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pengusaha makanan dan minuman serta kedai dobi mendesak kerajaan mempertimbangkan semula pelaksanaan penggunaan tong gas komersial ungu.
Peralihan kepada LPG tanpa subsidi yang dijual sekitar RM65 hingga RM70 bagi tong 14kg berbanding RM26.60 hingga RM30 untuk gas bersubsidi, didakwa menambah beban kos operasi golongan peniaga kecil.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |