BERITA SEMASA

Pengurusan pasukan, misi jadi tonggak kejayaan IPT – Zambry

LUMUT– Kejayaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tidak hanya bergantung kepada dasar atau perancangan sebaliknya ditentukan oleh kekuatan pasukan pengurusan dan misi yang dikongsi secara bersama oleh seluruh warga institusi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pengurusan yang berkesan tidak seharusnya terlalu bersifat berprotokol atau autoritarian, sebaliknya perlu menitikberatkan komunikasi terbuka, semangat kerja berpasukan dan penyelesaian masalah secara kolektif.

“Saya tidak percaya kepada pendekatan yang terlalu kompleks, kejayaan sesuatu organisasi bermula daripada ketuanya dan sejauh mana beliau membina serta mempercayai pasukannya.

“Jika pasukan itu baik, maka baiklah universiti atau politeknik itu,” katanya ketika menyampaikan amanat dalam sesi ‘Interact MADANI’ sempena Mesyuarat Perancangan Strategik Hal Ehwal Pelajar (HEP) di sini, malam tadi.

Zambry menegaskan, pengurusan hal ehwal pelajar bukan isu kecil yang boleh diserahkan secara terpisah kepada mana-mana pihak, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh daripada seluruh ekosistem institusi, termasuk pentadbiran, akademik dan penggubalan dasar.

Menurutnya, terdapat empat elemen utama yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan HEP iaitu komunikasi dua hala yang berkesan, kejelasan visi dan misi, kebertanggungjawaban serta sikap menghormati perbezaan pendapat.

“Pemimpin yang berintegriti perlu memiliki sifat rendah diri dalam menerima pandangan orang lain,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zambry turut menyeru agar semua universiti menggalakkan budaya penyelesaian kreatif dalam menangani pelbagai isu berkaitan pelajar, termasuk kebajikan, penyediaan asrama, kes disiplin dan penglibatan dalam politik kampus.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian kini dalam proses membentuk Pelan Pendidikan Tinggi Negara 2025–2035 yang akan menjadi rujukan utama dalam merangka hala tuju pembangunan pelajar serta institusi pengajian tinggi negara.

“Penglibatan aktif semua Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) dari seluruh negara amat penting bagi memastikan pelan tersebut bersifat menyeluruh dan selaras dengan kehendak serta realiti semasa,” katanya.

Mesyuarat dua hari yang bermula semalam itu turut diserikan dengan sesi perkongsian amalan terbaik daripada universiti awam, melibatkan pengurusan aktiviti pelajar, kebajikan, pilihan raya kampus dan pemerkasaan literasi politik dalam kalangan mahasiswa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button