BERITA SEMASASUKAN

Pengunjung kecewa keadaan padang teruk, tidak selamat

BANGI – Peminat bola sepak terutama di sekitar Bangi, Kajang kecewa terhadap pengurusan Padang Motta Sri Awana, di sini yang didakwa tidak menyelenggara dengan baik kemudahan tersebut.

Padang yang mengenakan kadar sewaan agak tinggi itu dikatakan bukan sahaja berada dalam keadaan tidak terurus bahkan merbahaya kepada orang ramai.

Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Azman berkata, beliau sangat kecewa melihat keadaan padang berkenaan ketika beraksi dalam satu perlawanan baru-baru ini.

Gambar yang dirakam Azman menunjukkan keadaan padang itu sangat teruk dan berisiko mendatangkan kecederaan kepada pemain.

“Keadaan padang itu sangat tidak selamat dan ia jauh daripada standard harga sewa yang ditetapkan.

“Selain permukaannya tidak rata dan keras, padang itu turut dipenuhi sampah, lubang dan batu.

“Rumput tiruan juga berlipat-lipat, tidak diselenggara dengan baik dan berisiko menyebabkan kecederaan.

“Malah, tiang gol di kedua-dua belah tidak mempunyai jaring selain mempunyai saiz yang terlalu kecil,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menurut Azman, beliau dan rakan-rakannya yang menggunakan padang itu amat terkejut dengan kualiti kemudahan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Jujurnya, sangat mengecewakan. Main bola nak enjoy, tapi dekat sini rasa macam cari pasal. Caj pun tinggi tapi padang langsung tak setimpal,” katanya.

Azman mendakwa, padang tersebut sebelum ini berada dalam keadaan baik kerana diuruskan dengan baik namun keadaan sekarang tidak lagi sama.

Padang itu juga didakwa tidak selenggara dengan baik tetapi caj sewa terlalu tinggi.

“Sejak bertukar operator, keadaan memang teruk sekali.

“Walaupun banyak aduan sudah dibuat tetapi seperti tiada tindakan diambil,” katanya.

Dakwanya, kegagalan pihak pengendali itu berpunca daripada kontrak yang tamat pada Disember ini dan tidak disambung semula oleh (Majlis Perbandaran Kajang).

“Kalau tanya kenapa tak upgrade padang, mereka kata tak berbaloi sebab dah kena keluar hujung tahun ini. Tapi rumput baru dah beli. Kalau nak untung pun, biarlah utamakan keselamatan orang,” tambah Azman.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai terutama peminat bola sepak di sekitar Bangi agar berhati-hati dan meneliti dahulu keadaan padang sebelum menggunakannya.

“Jangan sampai ada yang tercedera. Jaga diri dan jaga kaki,” katanya bersama beberapa klip video yang dirakam di padang berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button