
Pengumuman peruntukan kerajaan dilarang semasa tempoh pilihan raya
PUTRAJAYA – Sebarang pengumuman mengenai peruntukan kerajaan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh pilihan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, penggunaan jentera kerajaan juga adalah tidak dibenarkan sama sekali ketika tempoh berkenaan.
“Semasa penamaan calon, tidak boleh gunakan jentera atau peruntukan kerajaan, (termasuk) setelah penamaan calon sekali dengan pilihan raya. Itu keputusan kerajaan.
“That was before nomination (Itu sebelum penamaan calon), kalau selepas itu, kita bagi amaran, tidak boleh,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Warga Kementerian Kewangan dan Agensi, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berhubung peruntukan RM6.13 juta bagi 33 projek pembangunan di kawasan Parlimen Tapah, Khamis lalu, dibuat sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Dalam pengumuman itu, Kor Ming mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan untuk 33 projek pembangunan dan infrastruktur awam, di Parlimen Tapah di bawah Program Sentuhan Kasih 3.0.
Antaranya, 16 projek bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), 10 projek Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC), dua projek Jabatan Landskap Negara (JLN), tiga projek Jabatan Perumahan Negara (JPN), dan dua projek Bahagian Kesejahteraan Komuniti (BSK).
Tindakan Kor Ming itu kemudiannya mendapat kritikan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Bersih.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |