
Penguasaan ilmu, pemikiran merdeka kunci kemajuan negara – PM
SHAH ALAM – Penguasaan ilmu dan pemikiran yang merdeka menjadi kunci kemajuan bangsa dan negara, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam sesi soal jawab program Temu Anwar di Management & Science University (MSU), di sini hari ini.
Menurut beliau, kegagalan umat Islam untuk muncul sebagai masyarakat berjaya berpunca daripada kedangkalan ilmu serta ketandusan pemikiran hingga menjadikan mereka tunduk kepada sistem asing dan tidak berupaya membina kekuatan sendiri.
“Dalam dunia yang penuh pancaroba dan kegelapan ini, umat Islam tidak mampu mencapai kejayaan kerana kehilangan arah dalam ilmu dan pemikiran.
“Mereka tidak mampu menerima sesuatu yang baru dan hanya tunduk kepada sistem asing. Tidak ada upaya untuk membina apa yang disebut kekuatan asli,” katanya.
Mengambil inspirasi daripada sarjana tersohor Ismail al-Faruqi, Anwar berkata, beliau memberi penekanan tentang apa yang disebut The Malaise of The Ummah (penyakit umat) yang perlu kepada kesedaran dan pencerahan menerusi penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang.
Beliau turut berkongsi pengalamannya sebagai salah seorang pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran Islam ketika masih muda, yang antara lain memperjuangkan idea-idea pencerahan bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
“Orang sering salah faham apabila bercakap tentang pendekatan Islam. Bukan semata-mata soal ibadah, tetapi juga melibatkan pembinaan akal dan pemikiran,” ujar beliau.
Anwar juga menyentuh pemikiran sarjana Algeria yang menyifatkan walaupun sesebuah negara itu merdeka secara fizikal, namun pemikirannya masih dijajah.
Hal itu menurut beliau, dapat dilihat di negara ini apabila wacana tentang ekonomi, pembangunan dan pendidikan masih terlalu bersandar kepada acuan Barat tanpa penilaian kritikal.
“Inilah yang disebut oleh Profesor Syed Hussein Al Attas sebagai captive mind (minda yang terperangkap). Kita jangan terperangkap dengan teks dan pemikiran asing sepenuhnya tanpa menilai dengan bijaksana,” katanya lagi.
Tambah beliau, penguasaan ilmu mestilah disertai dengan adab, hikmah dan pendekatan yang mendidik, bukan menghukum.
“Kalau ilmu digunakan untuk menyemai kebencian, menghukum orang kafir atau munafik hanya kerana perbezaan pandangan, itu bukan jalan Islam.
“Islam menyeru kepada pendekatan bil hikmah wal mau‘izatil hasanah — dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik,” tegas Anwar.
Perdana Menteri turut mengingatkan agar masyarakat tidak mudah menghukum, sebaliknya bersabar dan menilai sesuatu dengan ilmu serta keterbukaan.
“Mesti menimba ilmu secukupnya, membaca seluasnya dan tidak pantas menghina orang. Kita ini negara berbilang kaum. Islam tetap agama Persekutuan, orang Melayu Bumiputera tetap majoriti, tetapi itu bukan alasan untuk melihat orang lain dengan syak wasangka dan kebencian,” katanya.
Dalam konteks negara Madani, Anwar berkata, nilai menjadi teras penting untuk membina generasi muda yang kuat, tahan uji dan cinta kepada negara.
“Saya selalu sebut dalam bidang pendidikan, menggapai langit dengan pembangunan, teknologi canggih, tapi jangan lupa berakar di bumi. Nilai, budaya, akidah, akhlak. Kesemuanya dirangkum, maka barulah bangkit keramat insaniah,” ucapnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |