BERITA SEMASALUAR NEGARA

Pengiktirafan Israel terhadap Somaliland cetus amaran ketenteraan Houthi

KUALA LUMPUR – Langkah Israel mengiktiraf Somaliland secara rasmi mencetuskan ketegangan baharu di rantau Laut Merah apabila kumpulan pemberontak Houthi di Yaman memberi amaran bahawa sebarang kehadiran Israel di wilayah itu dianggap sebagai ‘sasaran ketenteraan’.

Israel pada Jumaat lalu mengumumkan pengiktirafan terhadap Somaliland, wilayah yang mengisytiharkan pemisahan unilateral daripada Somalia sejak 1991, menjadikannya negara pertama berbuat demikian dan sekali gus mencabar konsensus antarabangsa yang mengiktiraf kedaulatan Somalia.

Tindakan itu segera mengundang reaksi keras daripada Houthi apabila ketuanya, Abdulmalik al-Houthi, menegaskan pengiktirafan tersebut merupakan pencerobohan terhadap Somalia dan ancaman langsung kepada keselamatan Yaman serta kestabilan rantau ini.

“Kami menganggap sebarang kehadiran Israel di Somaliland sebagai sasaran ketenteraan bagi angkatan bersenjata kami kerana ia merupakan pencerobohan terhadap Somalia dan Yaman, serta ancaman strategik kepada keselamatan rantau ini,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan media Houthi semalam.

Peta kedudukan Somaliland dengan Yaman yang dipisahkan oleh Teluk Aden.

Houthi turut memberi amaran bahawa langkah Israel itu bakal membawa ‘akibat serius’, sambil menyifatkannya sebagai pendirian bermusuhan yang menyasarkan Somalia, negara-negara Afrika sekitarnya, Yaman serta keselamatan laluan strategik Laut Merah dan Teluk Aden.

Somaliland yang terletak di kedudukan geostrategik penting di Teluk Aden sekian lama berusaha mendapatkan pengiktirafan antarabangsa, selain memiliki mata wang, pasport dan angkatan tentera sendiri.

Penganalisis serantau berpandangan hubungan Israel dengan Somaliland berpotensi membuka akses lebih luas Israel ke Laut Merah, sekali gus meningkatkan keupayaan operasi ketenteraan terhadap pemberontak Houthi di Yaman.

Israel sebelum ini beberapa kali melancarkan serangan ke atas sasaran di Yaman sejak perang Gaza tercetus pada Oktober 2023, sebagai tindak balas terhadap serangan Houthi yang mendakwa dilakukan atas solidariti terhadap Palestin.

Langkah pengiktirafan Israel itu turut menerima kecaman daripada Kesatuan Afrika, Mesir, Turkiye, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), manakala Kesatuan Eropah menegaskan kedaulatan Somalia perlu dihormati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button