Berita Semasa

Penghulu Mukim Teja maut, tertimbus tar tumpah

KAMPAR – Penghulu Mukim Teja maut dalam keadaan tertimbus muatan batu tar selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, dalam kejadian sekitar jam 7.30 malam di Kilometer 4 Jalan Tanjung Tualang-Malim Nawar itu, mangsa Hanapiah Ismail, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Tanjung Tualang ke Kampar.

Menurutnya, treler muatan tar dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun juga berada di lorong sama dengan kedudukan 10 meter di hadapan.

“Tiba di lokasi kejadian, berlaku kerosakan pada penyambung treler menyebabkan kenderaan berat itu terangkat dan hilang kawalan.

“Keadaan itu mengakibatkan muatan yang dibawa tumpah di atas jalan dan menimbus mangsa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Difahamkan, kejadian itu berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Jasamu Dikenang Pejabat Daerah dan Tanah Kampar di sebuah hotel di Ipoh.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, keadaan motosikal mangsa juga mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan dengan pecah keseluruhan.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button