
Penghibur jalanan wajib sertai bengkel setiap kali perbaharui permit
KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewajibkan semua penghibur jalanan di ibu negara menghadiri Bengkel Pemantapan KL Street Artist setiap kali memperbaharui permit.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu untuk memastikan penghibur jalanan terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan serta meningkatkan kualiti persembahan mereka.
Beliau berkata, penetapan syarat itu juga bertujuan memastikan aktiviti seni jalanan lebih tersusun dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
“Bengkel Pemantapan KL Street Artist memberi pendedahan mengenai peraturan lokasi persembahan, had bunyi, keselamatan serta etika profesional.
“Selain itu, Task Force KL Street Artist turut memainkan peranan dalam memantau pematuhan permit serta bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam aspek keselamatan dan kawalan trafik,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.
Menurut Dr. Zaliha, sejak 2014, DBKL telah mengeluarkan 579 permit kepada penggiat seni jalanan, dengan 374 permit bagi kategori Seni Persembahan Muzik (SPM) dan 205 bagi kategori Seni Visual Kreatif (SVK) yang termasuk badut, silap mata, maskot dan pelukis inai.
Bagi memastikan buskers beroperasi dengan baik, 16 lokasi rasmi telah disediakan di sekitar ibu kota, antaranya Jalan Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan River of Life.
Beliau turut mengakui masih ramai penghibur jalanan yang beroperasi tanpa permit, terutamanya di lokasi terlarang seperti persimpangan jalan dan kawasan lampu isyarat.
“DBKL mendapati ada dalam kalangan mereka yang tidak mengetahui keperluan permit, manakala sebahagian lagi enggan mematuhinya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Dr. Zaliha berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan mengadakan Sesi Temu Rapat bersama Penggiat Seni pada suku kedua tahun ini sebelum merangka Dasar Hiburan Wilayah Persekutuan.
Katanya, buskers tanpa permit turut dijemput bagi berkongsi cabaran serta cadangan sokongan daripada kerajaan.
“Kita mahu memastikan seni jalanan bukan sahaja menjadi medium ekspresi kreatif, tetapi juga aset budaya yang diiktiraf. Dengan kerjasama semua pihak, Kuala Lumpur beraspirasi menjadi Kota Budaya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |