BERITA SEMASA

Pengharaman vape: Selangor buat keputusan Julai depan

SHAH ALAM – Keputusan sama ada mengharamkan produk vape atau rokok elektronik di Selangor akan diputuskan Julai depan.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, setakat ini, dua mesyuarat melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan pihak berkuasa tempatan sudah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut, lapor SelangorKini.

“Kita sedang bergerak ke arah pelaksanaan larangan, namun perlu berhati-hati dan mengambil pendekatan menyeluruh.

“Antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah penjualan dalam talian tanpa kawalan, produk daripada jenama tidak berdaftar, serta pengeluaran tidak rasmi di kawasan kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Pusat Penyesuaian Iklim Selangor (SCAC) di Hotel Concorde, di sini hari ini.

Laporan media sebelum ini memberitahu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan cadangan melarang penjualan produk vape dan rokok elektronik di Selangor akan dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Cadangan itu susulan kebimbangan terhadap isu kesihatan yang semakin meningkat akibat penggunaan vape termasuk laporan mengenai pelajar menghisap vape berhampiran kawasan sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button