BERITA SEMASA

Penggunaan teknologi ganti pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menjalankan inisiatif menyediakan solusi menggunakan teknologi dengan kos yang lebih rendah daripada pembinaan tembok di sempadan Malaysia dan Thailand.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu adalah bagi bagi menangani jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia di kawasan tersebut.

“Ini adalah bagi memastikan keselamatan rakyat terus terjamin. Agensi “bongsu” KDN iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Kawalan Sempadan (AKPS) juga bakal memulakan operasi rentas mereka di Rantau Panjang, Kelantan dan insya-Allah ini akan meningkatkan lagi kekuatan KDN melindungi sempadan Malaysia.

“Namun, kekuatan sebenar bermula dengan mereka yang menjaga sempadan kita. Di Padang Besar, kami telah menyiapkan projek perumahan untuk anggota keselamatan, lengkap dengan kemudahan seperti masjid, dewan serbaguna dan taman permainan.

“Ini bukan hanya pelaburan dalam keselamatan negara tetapi juga dalam kebajikan mereka yang bertugas menjaga kita semua,” katanya dalam satu hantaran dalam laman media sosialnya hari ini.

Dalam pada itu katanya, keutamaannya pada masa kini adalah memastikan setiap langkah yang diambil daripada penggunaan teknologi hingga ke kerjasama antarabangsa dapat mendatangkan manfaat kepada negara dan rakyat.

Mengulas lanjut katanya, sejak dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, pelbagai inisiatif dan tambah baik telah dilakukan oleh Jabatan Imigresen dan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR bagi bas dan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) Johor.

Katanya, langkah itu adalah satu inisiatif yang berjaya mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura.

Selain itu, katanya, penggunaan autogate di KLIA Terminal 1, Terminal 2 dan BSI juga telah membantu melancarkan proses kemasukan ke Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button