Penggunaan MyDigital ID untuk aplikasi MyJPJ dibatalkan – Anthony Loke
PUTRAJAYA – Menteri Pengangkutan, Datuk Anthony Loke, hari ini memaklumkan orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk ke aplikasi tersebut mulai 10 Oktober ini.
Anthony Loke menegaskan tiada sebarang perubahan drastik dalam cara pengguna mengakses aplikasi itu yang membolehkan pengguna untuk terus mendaftar masuk seperti biasa, tanpa sebarang halangan baharu.
“Orang ramai tak perlu risau. MyJPJ tetap boleh digunakan seperti biasa dan tiada perubahan besar yang akan menyusahkan pengguna. Akses kepada MyJPJ akan kekal mudah dan pantas,” katanya di sini hari ini.
Laporan media sebelum ini melaporkan pengguna MyJPJ akan diwajibkan menggunakan MyDigital ID yang merupakan sistem pengenalan digital untuk mengesahkan identiti mereka semasa log masuk aplikasi MyJPJ.
Sistem itu bertujuan memudahkan transaksi dalam talian di sektor awam dan swasta.
Anthony menjelaskan, arahan tersebut hanya muncul melalui pengumuman tetingkap timbul (‘pop-up’) dalam aplikasi MyJPJ dan bukannya kenyataan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Arahan tersebut telah mengundang kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan pengguna, berdasarkan komen-komen di media sosial.
“Namun saya ingin tekankan bahawa ia bukan arahan rasmi dan maklumat tersebut telah diturunkan serta-merta,” katanya lagi.
Beliau berkata, dengan lebih 10.5 juta pengguna MyJPJ, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID, tetapi integrasi sistem tersebut perlu dilakukan dengan teliti melalui kaedah ‘back-end’ bagi memastikan pengguna tidak terjejas.
“Kami sudah berbincang dan mencapai persetujuan bahawa penggunaan MyDigital ID untuk log masuk MyJPJ akan dilaksanakan dengan cara yang paling mudah bagi pengguna.
“Kami akan pastikan tiada gangguan kepada pengalaman pengguna MyJPJ,” tambahnya.
Dengan penjelasan itu, pengguna MyJPJ boleh menarik nafas lega, mengetahui bahawa tiada perubahan besar yang akan menyulitkan mereka dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








