BERITA SEMASA

Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar utamakan perlindungan hak pemilik – Kor Ming

KUALA LUMPUR – Penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan mengutamakan perlindungan hak pemilik hartanah untuk memastikan tiada yang tertinggal, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Kor Ming berkata, kementeriannya telah melaksanakan 52 kali libat urus dengan pelbagai pihak termasuk jawatankuasa pilihan khas parlimen supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar dapat berjalan dengan lancar.

“Bagi pemilik strata yang bersetuju, kita akan mengemukakan dua cadangan iaitu pertama, kaedah perundingan secara individu (one-to-one basis), di mana pemilik asal akan memperoleh satu rumah baru atau lebih dengan syarat-syarat yang setimpal.

“Kedua, sekiranya pemilik ingin menjual hartanah mereka, mereka juga dibenarkan untuk melepaskan hak milik bagi mendapatkan keuntungan,” katanya semasa sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan  menegaskan bahawa proses rundingan akan diteruskan sehingga semua pihak mencapai persetujuan mengenai syarat-syarat dan kehendak pemilik yang terlibat.

Justeru itu, katanya, KPKT bercadang untuk mewujudkan satu jawatankuasa mediasi bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan projek PSB selain jawatankuasa eksekutif di peringkat persekutuan dan negeri.

Kor Ming berkata, penggubalan akta ini adalah berpaksikan kepada 10 prinsip utama dan ia bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan tanah dan meningkatkan kualiti infrastruktur, terutamanya di kawasan yang mempunyai bangunan yang sudah daif atau usang.

Berdasarkan Regulatory Impact Analysis (RIA) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama Malaysia Productivity Corporation (MPC), penggubalan Akta PSB adalah berpaksikan kepada 10 prinsip pembaharuan semula bandar.

“10 prinsip pembaharuan adalah persetujuan pemilik, pengekalan penduduk asal, perlindungan kepentingan pemilik tanah dan kos caj penyenggaraan, penempatan sementara yang kondusif serta penilaian kriteria tapak pembaharuan semula bandar.

“Selain itu, guna tanah yang efektif, penilaian terperinci tapak, penambahbaikan penggunaan teknologi, pelaksanaan pembangunan mengikut prosedur dan peruntukan perundangan sedia ada dan pembangunan berfasa.

“Kita mempunyai kisah kejayaan seperti di Bangsar, Kuala Lumpur, dan Georgetown, Pulau Pinang, di mana bangunan rosak dan usang telah diperbaharui untuk menjadikan kawasan berpotensi komersial seperti kafe yang menarik terutamanya bagi golongan muda,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button