‘Pengemis jadian’ setiap kali Ramadan perlu tindakan khusus
PETALING JAYA – Pihak berkuasa memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat untuk menangani isu kemunculan ‘pengemis jadian’ di bazar dan pekarangan masjid khususnya setiap kali Ramadan,
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata, isu tersebut perlu ditangani secara menyeluruh dan berhemah bagi memastikan ia dapat diselesaikan dengan baik, lapor Bernama.
“Kita juga meraikan semua cadangan dan pandangan daripada orang awam, jika ada maklumat berkaitan, mereka boleh menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan,” katanya dalam satu program di Jitra, Kedah.
Katanya, orang ramai bimbang dengan individu yang meminta derma atau sedekah di kawasan mereka boleh merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan untuk kepastian.
Media sebelum ini melaporkan mengenai kehadiran ‘pengemis jadian’ sama ada terdiri daripada rakyat tempatan atau warga asing yang meningkat mendadak pada bulan Ramadan.
Mereka biasanya dilihat di kawasan tumpuan ramai seperti bazar Ramadan dan pekarangan masjid.
Pada Khamis lalu, pihak berkuasa Kelantan mendedahkan mengesan sindiket terancang membawa masuk pengemis warga asing termasuk kanak-kanak dari Thailand, bagi mengutip derma di sekitar Kota Bharu sepanjang Ramadan ini.
Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berkata, pengemis hanya mendapat 30% hasil mengemis, manakala 70% dikaut oleh ejen yang mengatur pergerakan mereka menggunakan pas lawatan sosial.
Sindiket itu dipercayai dikendalikan ejen tempatan untuk dibawa ke lokasi strategik seperti bank, masjid dan kawasan perumahan untuk mengemis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






