
Pengecualian levi setahun institusi pendidikan swasta bermula tahun depan
KUALA LUMPUR — Kerajaan mengumumkan pengecualian pembayaran levi selama setahun kepada semua institusi pendidikan dan latihan swasta di seluruh negara bermula 1 Januari 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu merupakan inisiatif Kerajaan MADANI dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperkukuh kualiti pendidikan nasional.
“Buat pertama kali dalam sejarah, kerajaan hari ini mengumumkan pengecualian levi selama setahun bagi semua institusi pendidikan bermula 1 Januari 2026,” katanya ketika merasmikan Majlis Kemuncak National Training Week (NTW) 2025 di ibu negara, hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti pandangan pelbagai pihak termasuk pengendali prasekolah, sekolah rendah dan menengah swasta, institusi pendidikan vokasional, pengajian tinggi serta pusat latihan kemahiran yang menggesa agar levi sedia ada dimansuhkan.
Menurut Anwar, pengecualian tersebut akan memberi ruang kepada institusi pendidikan dan latihan untuk menumpukan sepenuhnya kepada usaha meningkatkan kualiti penyampaian serta keberkesanan program latihan.
Beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan dan KSU Kementerian Sumber Manusia untuk memantau pelaksanaan inisiatif tersebut agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengingatkan syarikat-syarikat swasta yang merekodkan keuntungan tinggi agar tidak melupakan tanggungjawab terhadap kebajikan pekerja terutamanya dalam aspek imbuhan dan kenaikan gaji.
“Kecekapan dan kemahiran pekerja sektor swasta adalah aset penting negara. Syarikat yang berjaya perlu menghargai sumbangan mereka demi pembangunan negara secara menyeluruh,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |