Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Pengasas 99 Speedmart muncul individu ketujuh terkaya Malaysia

KUALA LUMPUR – Pengasas rangkaian kedai serbaneka 99 Speedmart, Lee Thiam Wah yang memiliki nilai kekayaan RM17.6 bilion disenaraikan antara 10 individu terkaya di Malaysia menurut Senarai Individu Terkaya Nanyang Siang Pau 2024.

Kejayaan ini didorong oleh lonjakan nilai saham 99 Speedmart selepas penyenaraian awam permulaan (IPO) pada 9 September lalu.

Hasil penyenaraian itu, harga saham syarikat meningkat dari RM1.65 kepada RM2.47 sesaham, menjadikan beliau individu ketujuh terkaya di negara ini.

Thiam Wah kini berdiri sebaris dengan tokoh-tokoh hebat seperti pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; hartawan Genting Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay.

Di sebalik kekurangan akibat kecacatan fizikal yang dialaminya sejak kecil, anak kelahiran Klang, Selangor itu membuktikan cabaran fizikal bukan penghalang untuk mengecapi kejayaan.

Semangat keusahawanannya terserlah sejak remaja apabila beliau mula berniaga makanan ringan di tepi jalan.

Pada 1987, beliau membuka kedai runcit pertamanya, Pasar Raya Hiap Hoe, sebelum menjenamakannya sebagai Pasar Mini 99 pada 1992.

Dengan strategi harga mampu milik, jualan volum tinggi, dan lokasi strategik, perniagaannya berkembang pesat.

Kini, 99 Speedmart mengendalikan lebih 2,600 cawangan di seluruh negara dengan sasaran mencapai 3,000 cawangan menjelang 2025, selain merancang pengembangan ke Indonesia dan Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button