
Penganjuran Good Vibes Festival 2023 dibatalkan serta-merta – Fahmi Fadzil
CYBERJAYA – Penganjuran Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sehingga esok, dibatalkan serta-merta hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah berjumpa penganjur konsert tersebut pada kira-kira pukul 10.20 tadi di kementeriannya bagi mendengar penjelasan mereka mengenai insiden biadap yang tercetus ketika persembahan band The 1975, malam tadi.
“Saya telah memanggil penganjur Festival Good Vibes 2023 iaitu Future Sound Asia, susulan aksi dan kenyataan sangat biadab yang dipamerkan oleh artis dari UK “The 1975″ di Sepang malam tadi,” kata Fahmi dalam satu ciapan di akaun Twitter miliknya, hari ini.
Fahmi turut berkongsikan gambar pertemuan beliau dengan penganjur tersebut dalam ciapan yang sama.
Beliau seterusnya menegaskan, pendirian Kerajaan Perpaduan adalah jelas dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mencabar, memperlekeh serta melanggar undang-undang Malaysia.
“Justeru, saya telah mengarahkan pembatalan serta merta baki festival tersebut yang sepatutnya berlangsung hari ini sehingga esok, 23 Julai.
“Saya faham keputusan ini akan memberi implikasi kepada penonton yang telah membeli tiket. Sehubungan itu, saya juga telah menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket,” kata Fahmi lagi.
Terdahulu, laporan media menyebut persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 malam tadi dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.
Penyanyi tersebut didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






