BERITA SEMASA

Penderma organ selamatkan nyawa, Hospital Miri catat sejarah pembedahan transplan pertama 2025

MIRI – Hospital Miri di sini melakar sejarah apabila berjaya melakukan pemindahan buah pinggang daripada seorang penderma berusia 43 tahun yang telah meninggal dunia kepada seorang penerima.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Hospital Miri, mendiang merupakan seorang pengikrar penderma organ yang berdaftar sejak 2014.

“Hasrat mulia penderma ini menjadi kenyataan. Beliau menghadiahkan buah pinggangnya kepada pesakit memerlukan,” menurut kenyataan tersebut.

Penderma organ selamatkan nyawa

Pembedahan itu adalah kejayaan pertama tahun ini dan merupakan kes kelima melibatkan pemindahan organ di hospital berkenaan.

Pembedahan dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Hospital Umum Sarawak dan Pusat Sumber Transplan Nasional.

Antara pakar terlibat dalam prosedur tersebut ialah Dr. Aaron Goh dan Dr. Kamal Raj dari Hospital Umum Sarawak, dibantu oleh Dr. Engku Emilia Engku Awang, SN Mohammad Aliff Abdullah dan jururawat urologi, Siti Zulaikha Md Sidek dan Liz Estevera Gabin.

Turut serta Dr. Uma Devi Ramadass dari Unit Perolehan Organ Hospital Umum Sarawak serta pasukan ‘Top Team’ Hospital Miri yang memainkan peranan penting dalam proses tersebut.

Dalam pada itu, pihak hospital turut merakamkan ucapan takziah serta penghargaan kepada isteri dan keluarga mendiang atas keputusan berani penderma membenarkan organ mendiang digunakan.

“Keputusan besar ini adalah lambang cinta dan kasih sayang mendalam serta keinginan untuk memberikan harapan dan kehidupan baharu kepada orang lain,” menurut hantaran berkenaan.

Keputusan yang cukup bermakna itu turut mendapat penghargaan orang ramai yang menzahirkan penghormatan kepada mendiang dan keluarganya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button