Berita Semasa

Pendaftaran program eBeliaRahmah dibuka mulai 26 Jun

CYBERJAYA – Golongan belia berumur 18 hingga 20 tahun termasuk pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) boleh mula mendaftar dalam program eBeliaRahmah mulai 26 Jun 2023.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan hari ini berkata, program tersebut terbuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2023 (lahir pada tahun 2003 sehingga 2005); atau berstatus aktif sebagai pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

“Belia warganegara Malaysia yang layak boleh mula mendaftar untuk menerima RM200 dalam bentuk kredit e-tunai secara ‘one-off’ dengan salah satu daripada tiga penyedia perkhidmatan e-dompet terkemuka iaitu Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet,” kata MOF dalam kenyataan tersebut.

Kredit RM200 ini juga boleh dimanfaatkan di peruncit/peniaga yang menerima pembayaran melalui kod QR DuitNow dengan menggunakan salah satu e-dompet yang terlibat dalam program ini, tertakluk kepada transaksi yang dibenarkan.

Pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet (Boost, Setel dan Touch ‘n Go eWallet.

Selain kredit e-tunai, penerima akan turut menerima insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai (cashback) atau diskaun mata ganjaran daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat sepanjang tempoh program ini.

Tempoh pendaftaran dan tuntutan eBeliaRahmah adalah mulai pukul 8 pagi pada 26 Jun 2023 sehingga 22 Ogos 2023, manakala kredit eBeliaRahmah serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan secara ‘offline’ sehingga 31 Ogos 2023.

Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan RM400 juta bagi program eBeliaRahmah di bawah Belanjawan 2023 yang akan memanfaatkan seramai 2 juta belia yang layak.

Selain bertujuan untuk terus mempupuk budaya pembayaran tanpa tunai dalam kalangan belia, ini juga sedikit sebanyak meringankan beban kewangan mereka.

Bantuan ini juga merupakan peningkatan tawaran kredit e-tunai berbanding RM150 tahun lalu.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati dengan melayari laman web faq eBeliaRahmah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button