BERITA SEMASADALAM NEGERI

Pencerobohan tanah kerajaan: Dua lelaki didenda RM100,000

RAUB – Mahkamah Sesyen Raub hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 setiap seorang terhadap dua individu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membersihkan tanah milik kerajaan negeri Pahang tanpa kebenaran di daerah Lipis, November lalu.

Tertuduh, Bong Jau Chong, 79, dan Chong Teck Kong, 62, masing-masing seorang ahli perniagaan dan pemandu jengkaut, membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, kedua-duanya akan berdepan hukuman penjara selama 12 bulan.

Selain itu, sebuah jentera jengkaut yang digunakan dalam kejadian turut dilucut hak dan disita untuk diserahkan kepada kerajaan negeri.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kejadian berlaku pada 21 November sekitar pukul 3 petang di kawasan seluas 0.2 ekar di Kampung Seberang Jelai, Mukim Telang, Kuala Lipis.

Tindakan membersihkan tanah tanpa kelulusan rasmi dianggap melanggar peruntukan undang-undang kerana melibatkan kawasan milik kerajaan, lapor Sinar Harian.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 425(1)(b) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) [Akta 828] yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, peruntukan tersebut membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Taquiddin Azizan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Lim Zi Shin.

Dalam hujahan pembelaan, peguam memaklumkan bahawa tindakan anak guamnya tidak melibatkan sebarang jenayah berat, sebaliknya bertujuan membersihkan sebahagian kecil kawasan bersebelahan tanah milik mereka bagi mengelakkan pencerobohan haiwan liar.

Pembelaan turut menekankan bahawa pengakuan bersalah oleh tertuduh membantu menjimatkan masa dan sumber mahkamah.

Namun begitu, pihak pendakwaan memohon agar hukuman yang dikenakan bersifat setimpal dan memberi mesej pencegahan kepada masyarakat, di samping menyokong tindakan pelucuthakan jentera sebagai langkah tegas terhadap pelanggaran undang-undang berkaitan tanah kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button