BERITA SEMASADALAM NEGERI

Penari cilik SK Taman Seri Rembau bakal beraksi di Paris

REMBAU – Seramai 10 orang murid Sekolah Kebangsaan Taman Seri Rembau (SKTSR), di sini bakal membawa budaya Malaysia ke persada dunia apabila mewakili negara dalam pertandingan seni antarabangsa di Paris, Perancis pada Oktober ini.

Guru Besar SKTSR, Zulkarnain Abd Kadir berkata, kumpulan penari cilik berusia antara 11 hingga 12 tahun ini akan mempersembahkan tarian tradisional Melayu sempena International Competition & Festival of Folklore, Dance and Music ‘Etoiles De Paris’ edisi ke-35.

Zulkarnain (baju putih) bersama pasukan penari cilik SKSTR. – Kredit Foto Nor Ainna Hamzah

“Murid-murid ini telah digilap bakat mereka sejak empat tahun lalu oleh Guru Bahasa Inggeris sekolah ini, Mohd ‘Ainuddin Mohd Ramlan yang juga Jurulatih Seni Budaya Negara Tahap 1.

“Sejak saya berpindah ke SKTSR pada penghujung tahun lalu, saya dapati kesenian dan kebudayaan merupakan kebitaraan utama sekolah ini.

“Setelah meraih pelbagai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, kini tiba masanya kita melangkah ke pentas antarabangsa.

“Misi kami ialah memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada anak-anak ini serta guru yang terlibat,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Antara pencapaian membanggakan Kelab Seri Baiduri SKTSR itu termasuklah Anugerah Emas Tarian Kanak-kanak Madani Kebangsaan 2025, Johan Busana dan Tatarias Tarian Sekolah Peringkat Negeri 2024 serta Naib Johan Tarian Sekolah-Sekolah Malaysia Peringkat Negeri 2023.

Bagi merealisasikan misi ke Paris, satu Tabung ‘Road To Paris’ telah dilancarkan oleh Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 baru-baru ini.

Beliau turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada tabung berkenaan.

“Kita mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM120,000 bagi menampung kos perjalanan bermula 22 hingga 30 Oktober nanti.

Salah satu pertandingan tarian peringkat kebangsaan yang disertai pasukan ini di Kuala Lumpur pada April lalu.

“Pelbagai program pengumpulan dana akan dijalankan bagi tujuan ini,” jelas Zulkarnain yang juga bakal mengetuai kontinjen ke Paris.

Bagi mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan ke akaun CIMB 8601035597 atas nama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTSR.

Tambah beliau, ibu bapa turut memberikan sokongan yang luar biasa, malah dua guru turut memainkan peranan penting dalam penyediaan persembahan dan solekan iaitu Cikgu Aimi Zahirah Zakaria dan Cikgu Aida Sorfina Zulpakar.

“Apa yang membanggakan, bukan semua murid berasal daripada keluarga berada. Ramai daripada mereka daripada latar belakang biasa, namun ibu bapa sanggup berkorban demi melihat anak-anak mereka berjaya di pentas antarabangsa,” kata Zulkarnain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button