
Penarafan A3 Moody’s bukti pacuan ekonomi negara di landasan baik
PUTRAJAYA – Malaysia terus mengekalkan kedudukan kukuh di peringkat antarabangsa apabila agensi penarafan kredit terkenal, Moody’s Ratings (Moody’s), mengekalkan penarafan kredit berdaulat negara pada A3 dengan tinjauan “Stabil”.
Penarafan itu menggambarkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta pelaksanaan pembaharuan fiskal yang mampan meskipun berdepan cabaran global seperti ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencapaian tersebut sebagai pengiktirafan kepada pendekatan dasar yang jelas dan pelaksanaan reformasi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
“Penarafan ini membuktikan komitmen kerajaan terhadap perubahan struktur ekonomi yang berlandaskan tatakelola tinggi.
“Kerajaan akan terus melaksanakan pembaharuan ekonomi bagi memastikan manfaatnya dirasai semua rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan oleh Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa tahun ini, Kerajaan MADANI akan mempercepatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi melalui Belanjawan 2025.
Katanya, keutamaan diberikan kepada pelaburan berkualiti yang mampu mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi serta memperkukuh pembangunan infrastruktur serantau.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia akan memanfaatkan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mengetuai blok ekonomi rantau ini ke arah kerjasama ekonomi yang lebih erat.
Moody’s turut meramalkan Malaysia akan menjadi salah satu ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ramalan itu berdasarkan kekuatan struktur ekonomi negara, daya saing, kestabilan harga, pasaran modal yang kukuh dan sistem kewangan yang maju.
Agensi itu juga memuji sokongan politik yang kukuh, membolehkan kerajaan melaksanakan reformasi penting seperti Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
MOF berkata, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.8 hingga 5.3 peratus pada 2024, dengan unjuran bagi 2025 pula antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
Selain itu, langkah konsolidasi fiskal dijangka mengurangkan defisit kepada 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 dan seterusnya 3.8 peratus pada 2025, selari dengan sasaran yang ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |